KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) melalui Mechatronic Robotic Technology Center (MRTC) kekal erat menjalin kerjasama strategik dengan industri menerusi perbincangan rasmi bersama Hoya Electronics (M) Kulim bagi pelaksanaan semula Program Diploma Profesional dalam Mekatronik.
PTSB yang diketuai oleh Dr. Md Razak bin Daud disambut mesra oleh Pengarah Urusan, Encik Tean Sun Mai diiringi dua pegawai dari Jabatan Sumber Manusia dan Unit Latihan.
Perbincangan tertumpu kepada usaha menghidupkan semula program Diploma Profesional dalam Mekatronik yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2017. Sebelum ini, seramai 24 kakitangan Hoya berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh sijil bernilai tambah namun program ini terhenti akibat pandemik COVID-19.
Menurut Encik Tean Sun Mai, program terdahulu memberi impak positif kepada syarikat dan beliau menyambut baik inisiatif ini bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri moden.
Kolaborasi ini bukan sahaja menawarkan peluang peningkatan kemahiran (upskilling & reskilling) kepada pekerja industri malah membuka ruang kepada pelajar PTSB menjalani latihan industri di Hoya Malaysia.
PTSB komited untuk merealisasikan program ini dalam masa terdekat sebagai usaha memperkukuh ekosistem TVET dan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia.
 
Foto dan pelaporan:
Dr. Siti Rozakiyah Assurin binti Hassan
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal