Dua pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Puan Suryani binti Sabri dan Puan Ruzlinda binti Mustaffa telah mencapai satu lagi penanda aras kecemerlangan akademik dengan memperoleh pentauliahan dalam Penterjemahan Profesional.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mengukuhkan kewibawaan mereka sebagai tenaga akademik yang kompeten malah membuktikan keupayaan mereka dalam memenuhi piawaian penterjemahan di peringkat pakar.
Pencapaian ini diraih selepas mereka berjaya menyempurnakan program latihan komprehensif yang dikendalikan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Universiti Malaya (UM) bersama-sama lapan lagi Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) dari JPPKK dan POLYCC yang mengikuti program ini.
Program ini menguji ketelitian dan menuntut penguasaan pelbagai aspek penterjemahan termasuk sintaksis, semantik, peristilahan serta aplikasi dalam bidang khusus seperti komunikasi massa, sains sosial, sains dan teknologi dan undang-undang.
Dengan pentauliahan ini, kedua-dua wanita hebat ini bersedia untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan disiplin penterjemahan bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ilmu dan komunikasi antara bahasa.
Prestasi mereka turut memperkukuh kedudukan PTSB sebagai institusi yang melahirkan tenaga akademik berkaliber.
Info: Puan Suryani binti Sabri