Nilai jualan tekstil di Malaysia pada tahun 2023 termasuk pemintalan dan penenunan dianggarkan bernilai RM4.27 bilion. Peningkatan pengeluaran ini berpotensi menambah jumlah sisa tekstil jika tidak diurus dengan baik.
Menyedari kepentingan pengurusan sisa lestari, Jabatan Matematik Sains & Komputer (JMSK) dengan kerjasama Unit Pengurusan Teknologi Hijau (Bidang Pengurusan Sisa) dan Kelab Pengguna Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah menganjurkan Program Closet Revival: Sumbangan Pakaian Terpakai. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kitar semula tekstil serta membantu golongan yang memerlukan.
Melalui program ini, pakaian dalam keadaan baik dikumpulkan dan disalurkan kepada pelajar Sekolah Khas Baling, Kedah. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima malah mengurangkan jumlah tekstil yang berakhir di tapak pelupusan sampah.
Program ini turut menyokong agenda kelestarian global dengan menggalakkan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat. PTSB komited untuk memperkasa kesedaran mengenai pengurusan sisa mampan dan berharap inisiatif serupa dapat diteruskan pada masa akan datang.
 
Foto dan pelaporan:
Ts. Faizatulhaida binti Md Isa
Jabatan Matematik Sains & Komputer
Unit Pengurusan Teknologi Hijau