KULIM, 10 Mac 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) komited dalam memperkukuh aspek keselamatan dan disiplin pelajar melalui jalinan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Komitmen ini diperlihatkan menerusi kunjungan hormat Ketua Balai Polis Lunas, ASP Balber Singh a/l Hadep Singh, ke PTSB hari ini.
Perbincangan antara kedua-dua pihak menumpukan kepada keselamatan kampus serta usaha membentuk pelajar yang lebih berdisiplin. Antara inisiatif yang dirancang termasuk program kesedaran keselamatan, ceramah disiplin serta aktiviti sosial yang melibatkan warga kampus dan pihak berkuasa.
Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan PTSB dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berdaya saing sejajar dengan aspirasi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berakhlak tinggi dan bertanggungjawab.