KULIM – Kejayaan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) dalam bidang inovasi semakin menyerlah apabila berjaya meraih pingat emas di International Innovation & Exhibition Fair 2025 (IIEF 2025) melalui projek inovasi Smart Air Quality Detector (SAQD) yang berlangsung pada Februari lalu di Kolej MARA Kulim.
Sebanyak 486 kumpulan penyelidik dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina mengambil bahagian dalam pertandingan ini menjadikannya platform berprestij untuk menampilkan inovasi terbaik dari seluruh dunia.
SAQD direka bagi memantau tahap kualiti udara dalaman secara automatik dan masa nyata menggunakan sensor berteknologi tinggi yang mampu mengesan zarah berbahaya seperti metana (CH4) dan ammonia (NH3) serta suhu dan kelembapan. SAQD mampu memberikan maklumat yang tepat untuk tindakan pencegahan serta dilengkapi sistem penggera amaran awal.
Penyelia projek, Ts. Mohd Syafaril bin Jamaluddin (JKA) dibantu oleh Ts. Mahdzir bin Jamiaan (JKE) dan dua pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Nisrina Nabihah binti Mohamad Bakri dan Najiha Aufa binti Mohd Nazri berjaya membangunkan peranti ini sebagai penyelesaian inovatif untuk menangani pencemaran udara dalaman.
Pengujian awal menunjukkan bahawa SAQD berkesan dalam mengesan tahap pencemaran udara serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya pencemaran dalam ruang tertutup.
Dengan pencapaian ini, PTSB membuktikan bahawa pelajar TVET mampu membangunkan teknologi yang bukan sahaja relevan dengan industri malah memberi manfaat kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat.
 
Pelaporan:
Ts. Mohd Syafaril bin Jamaluddin
Jabatan Kejuruteraan Awam
Pereka: Ahmad Faidz Md Isa (PPDM)