KULIM - Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) meneroka pendekatan baharu dalam usaha mempromosikan pendidikan berteraskan TVET melalui penganjuran PTSB TikTok Challenge 2025 yang dilancarkan secara rasmi di Dewan Muadzam Shah, semalam.
Pertandingan yang terbuka kepada pelajar aktif PTSB ini merupakan inisiatif Unit Promosi dan Pengambilan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan objektif untuk memperkenalkan PTSB kepada orang awam melalui pendekatan kreatif di platform TikTok.
Majlis peluncuran telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali yang turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan pelajar dalam menghasilkan kandungan kreatif yang berimpak tinggi.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Norsyahidan bin Mohamad Yusof dalam ucapannya berharap agar pertandingan ini dapat menjadi medium yang efektif bagi pelajar untuk menyerlahkan potensi diri sambil mempromosikan institusi.
Syarat dan perincian pertandingan disampaikan oleh Ketua Unit Promosi dan Pengambilan Pelajar, Puan Azira binti Adnan. Pendaftaran dibuka bermula 9 April hingga 30 April 2025 dan pertandingan dijadual berakhir pada 1 Jun 2025.
Dengan kuasa penyampaian kandungan TikTok yang meluas dalam kalangan generasi muda, pertandingan ini diyakini mampu membuka ruang baharu kepada pelajar serta memperluas kesedaran tentang laluan kerjaya dalam bidang TVET.
Foto dan pelaporan:
Maziah binti Omar
Unit Promosi - Jabatan Matematik Sains dan Komputer (JMSK)