KULIM – Pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih satu anugerah perak dan empat anugerah gangsa dalam Pertandingan Inovasi Pelajar Geomatik dan Geoinformatik Kebangsaan Ke-12 (12th National Geomatics/Geoinformatics Student Innovation Competition – NGGSIC 2025).
Pertandingan ini melibatkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dalam bidang geomatik termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Arau, UiTM Seri Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Geomatika Malaysia serta politeknik termasuk PTSB.
PTSB menghantar enam kumpulan pelajar, tiga dalam kategori Inovasi Sistem/Gajet dan tiga lagi dalam kategori Peta Kreatif. Dalam kategori Inovasi Sistem/Gajet, projek bertajuk Tide Gauge Reader 1.0 berjaya meraih anugerah perak manakala dua lagi projek iaitu Energy Monitoring & Analysis Platform (EMAP) dan Aplikasi Pemetaan Fasiliti Pili Bomba & Lokasi Tempat Berkumpul di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah masing-masing menerima anugerah gangsa.
Bagi kategori Peta Kreatif pula, PTSB menerima dua anugerah gangsa menerusi peta bertajuk Lokasi Menara Telekomunikasi Daerah Kulim, Kedah Darul Aman 2025 dan peta Tempat Menarik di Kulim.
Penyertaan aktif pelajar dalam pertandingan seumpama ini bukan sahaja membuka ruang untuk meneroka potensi inovatif malah memperkukuh kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah serta daya fikir kreatif. Pendedahan seperti ini amat penting dalam melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, berani mencuba dan mempunyai keyakinan tinggi dalam bidang pengkhususan masing-masing.
Semoga peluang dan pendedahan seumpama ini dapat diberikan kepada pelajar khususnya dalam bidang geomatik.
 
Foto dan pelaporan:
Ts Mohd Azmi bin Hambali
Jabatan Kejuruteraan Awam