𝐊𝐏𝐃𝐍 𝐏𝐮𝐥𝐚𝐮 𝐏𝐢𝐧𝐚𝐧𝐠, 𝐏𝐓𝐒𝐁 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐆𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐂𝐞𝐥𝐢𝐤 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐠𝐮𝐧𝐚
SEBERANG JAYA – Dalam usaha memperkasa kesedaran pengguna dalam kalangan pelajar, Kelab Pengguna Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah mengadakan lawatan ilmiah ke Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang di Kompleks Sempilai, Seberang Jaya.
Lawatan ini memberi peluang kepada ahli kelab mendalami isu berkaitan kepenggunaan melalui taklimat yang disampaikan oleh dua pegawai kanan KPDN, Puan Nur Imani binti Adnan (Ketua Unit Anti Pencatutan) dan Encik Azman bin Hamid (Ketua Unit Perlindungan Pengguna dan Jualan Kredit).
“Isu kepenggunaan bukan hanya berkisar pada harga barang tetapi turut melibatkan hak, saluran aduan dan kebijaksanaan pengguna ketika berbelanja. Kami ingin generasi muda celik pengguna dan tidak menjadi mangsa,” jelas Puan Nur Imani ketika sesi taklimat.
Taklimat tersebut meliputi akta-akta berkaitan kepenggunaan, tatacara pengurusan aduan, e-dagang serta tips pembelian atas talian yang selamat. Kefahaman para pelajar turut diuji melalui kuiz interaktif di akhir sesi.
Turut hadir mengiringi pelajar ialah tiga pensyarah pengiring iaitu Puan Faridah binti Haji Ismail, Puan Maziah binti Omar dan Puan Zuraini binti Ibrahim. Mereka menyifatkan program ini sebagai platform berimpak tinggi dalam membentuk pengguna muda yang beretika dan berpengetahuan.
Foto dan pelaporan:
Faridah binti Ismail
Jabatan Sains, Matematik dan Komputer
