KULIM, 27 April 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menerima pengiktirafan yang bermakna apabila tujuh program kejuruteraan telah mendapat akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bagi tempoh enam tahun bermula 2025 hingga 2030.
Ucapan penghargaan ini disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik PTSB, Dr. Mohd Nor Azam bin Mohd Dali mewakili Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah PTSB dalam Majlis Perhimpunan Bulanan (MPB) April 2025.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan pentingnya komitmen dan kerjasama seluruh warga dalam merealisasikan inisiatif berlandaskan tujuh teras utama yang digariskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Selain itu, MPB April juga menjadi platform menyaksikan penyampaian buku Peranan Kesatuan Terhadap Kebajikan Pekerja dalam Menangani Isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan oleh Presiden Kesatuan DH, Encik Abdul Latib bin Ahmad kepada Dr. Mohd Nor Azam sebagai langkah memperkukuhkan usaha keselamatan dan kebajikan pekerja.
Majlis Anugerah Kecemerlangan & Inspirasi Siswa (MAKIS 2025) menyusul seusainya MPB PTSB April bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar PTSB yang telah mempamerkan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.
Antara penerima anugerah adalah Muhammad Irfan Zaiyani (Ikon Kebudayaan), Yeshveenii a/p Kalaiselvan (Ikon Sukan) dan Muhammad Syafiq bin Zamri (Ikon Kepimpinan) yang telah menyuntik inspirasi kepada rakan-rakan mereka melalui dedikasi dan sumbangan luar biasa dalam ko-kurikulum dan akademik.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah MAKIS 2025.
 
Foto:
Aniqah Hanis Noor Hazlan
Unit Komunikasi Korporat (UKK)