𝐒𝐮𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐙𝐚𝐤𝐚𝐭 𝐋𝐙𝐍𝐊 𝐑𝐢𝐧𝐠𝐚𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐛𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐏𝐓𝐒𝐁
KULIM, 27 April 2025 – Seramai 304 pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menerima bantuan zakat dalam satu majlis sederhana tetapi penuh bermakna, hari ini. Bantuan ini disalurkan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban kewangan para pelajar yang kurang berkemampuan.
Dr. Hj. Samsul bin Abd Rashid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSB dalam ucapannya menegaskan agar sumbangan ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh para pelajar demi kebaikan diri mereka.
Pihak PTSB juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat negeri Kedah serta pihak LZNK yang telah memastikan bantuan ini sampai kepada golongan pelajar yang memerlukan. Tanpa sumbangan mereka, inisiatif ini tidak akan dapat dilaksanakan sekali gus memberikan peluang kepada para pelajar untuk lebih fokus pada pengajian mereka tanpa dibebani masalah kewangan.
Program ini mencerminkan komitmen PTSB dalam memastikan kesejahteraan dan kejayaan pelajar terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dalam perjalanan akademik mereka.
Foto: Aniqah Hanis Noor Hazlan, Unit Komunikasi Korporat
