𝐍𝐨𝐬𝐭𝐚𝐥𝐠𝐢𝐚 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐃𝐨𝐥𝐮-𝐝𝐨𝐥𝐮 𝐝𝐢 𝐌𝐞𝐠𝐚 𝐑𝐚𝐲𝐚 𝐏𝐓𝐒𝐁 𝟐𝟎𝟐𝟓
Di sebuah negeri yang indah dan permai, terdapatlah sebuah mahligai ilmu yang sangat dihormati dikenali sebagai Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB). Saban tahun, sebelum syawal melabuhkan tirai, seluruh warga kampus meraikannya dengan girang dan ria.
Maka berhimpunlah hamba rakyat di majlis yang dinamakan Mega Raya PTSB 2025 dengan penuh kesyukuran. Sekalian warga mengenakan pakaian tradisional, membawa serta ketupat, rendang dan segala jenis hidangan yang menggembirakan hati seolah-olah pesta perut menyambut aidilfitri.
Di tengah-tengah perayaan itu, para pemimpin kampus turun ke bawah untuk meraikan rakyat jelata, beramah mesra dengan semua yang hadir. Mereka menghulurkan salam dan ucapan maaf, melambangkan kasih sayang yang tiada batas.
Pada akhirnya, Mega Raya PTSB 2025 bukan hanya tentang hidangan yang enak tetapi tentang kasih sayang dan penghormatan dalam persaudaraan yang terjalin sesama insan. Itulah semangat yang diwariskan turun-temurun, yang terus hidup di hati rakyat, dari anak muda hingga warga berusia.
Salam Aidilfitri 1446H dari PTSB, semoga ukhuwah ini kekal sebagai tanda ikatan yang kukuh antara kita.
Foto: Aniqah Hanis Noor Hazlan, Unit Komunikasi Korporat
