𝐏𝐨𝐫𝐭𝐚𝐥 𝐗𝐂𝐎𝐑𝐄 𝐁𝐚𝐰𝐚 𝐓𝐮𝐚𝐡 𝐄𝐦𝐚𝐬 𝐁𝐮𝐚𝐭 𝐏𝐓𝐒𝐁 𝐝𝐢 𝐅𝐞𝐬𝐓𝐕𝐄𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟓
KULIM – Kemeriahan Festival TVET (FesTVET) 2025 baru-baru ini diserikan lagi dengan pengiktirafan inovasi cemerlang apabila "XCORE Club Portal" dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) berjaya merangkul pingat emas.
Pertandingan inovasi ini menyaksikan penyertaan hebat pelbagai institusi pengajian tinggi dalam kategori pelajar POLYCC / IPT.
Projek XCORE Club Portal merupakan hasil usaha gigih tiga pelajar Jabatan Perdagangan iaitu Vaneeda Umairah binti Zulhasrizal, Nur Alia Nadirah binti Nurizan dan Siti Nur Aqilah binti Ramlan dengan bimbingan Puan Suryani binti Sabri, pensyarah Jabatan Pengajian Am.
Platform digital ini dibangunkan untuk mempertingkatkan modul MPU24041 Kelab/Persatuan melalui akses web dan aplikasi mudah alih. Puan Suryani menyifatkan platform tersebut sebagai alat pembelajaran kendiri yang bermanfaat.
"Platform XCORE ini amat bermakna kerana ia menyokong pembelajaran kendiri pelajar secara fleksibel. Pelajar kini mempunyai pelbagai sumber rujukan seperti nota, video dan panduan praktikal yang sistematik serta boleh diakses pada bila-bila masa," ujar beliau.
Pencapaian di FesTVET 2025 ini menyerlahkan komitmen PTSB dalam memupuk inovasi sejajar dengan matlamat untuk meraikan serta mempromosikan kecemerlangan dalam pendidikan TVET terutamanya dalam adaptasi teknologi digital untuk pembelajaran secara holistik.
Pelaporan:
Suryani binti Sabri, Jabatan Pengajian Am (JPA)
Pereka:
Ahmad Faidz bin Md. Isa, Pusat Pembelajaran Bahan Digital dan Multimedia (PPDM)