Berikut adalah program-program pengajian sepenuh masa yang ditawarkan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah:


DIPLOMA KEJURUTERAAN AWAM (DKA)
DIPLOMA GEOMATIK (DGU)
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK (DET)
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMPUTER) (DTK)
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMUNIKASI (DEP)
DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK (DEE)
DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (DKM)
DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PEMBUATAN) (DTP)
DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKATRONIK (DEM)
DIPLOMA AKAUNTANSI (DAT)
DIPLOMA PEMASARAN (DPR)
DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN ( DPM )

 


 

DIPLOMA KEJURUTERAAN AWAM (DKA)

Sinopsis:
Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan awam di samping memberi penekanan khusus kepada aspek kaji air, lebuh raya dan pembinaan. Pelajar perlu menghadiri kuliah teori dan melakukan kerja-kerja praktikal di dalam makmal. Pelajar juga perlu menamatkan latihan industri selama enam bulan. Program pengajian meliputi Bahan dan Binaan Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan, Ukur Kejuruteraan, Teknologi Konkrit, Teori Struktur, Reka bentuk Struktur, Hidraulik dan Hidrologi, Bekalan Air dan Rawatan Air Sisa, Geoteknik, Atur cara Kontrak dan Taksiran, Aplikasi Komputer dan Pengurusan Pembinaan.

Peluang Kerjaya:

Peluang pekerjaan adalah luas di mana graduan dapat ditempatkan di industri pembinaan atau di jabatan-jabatan kerajaan sebagai Pembantu Teknik.

DIPLOMA GEOMATIK (DGU)

Sinopsis:
Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ukur tanah khususnya teknik-teknik pengumpulan, pemprosesan, penganalisisan dan persembahan maklumat kedudukan dan bentuk topografi di bumi. Pelajar perlu menghadiri kuliah, tutorial dan melakukan praktikal di lapangan dan makmal. Pelajar perlu menamatkan latihan industri selama enam bulan. Program pengajian meliputi kursus teras iaitu Ukur Kejuruteraan, Ukur Kadaster, Fotogrametri, Geodesi, Sistem Maklumat Geografi (GIS), Pelarasan Ukur, dan Undang-undang & Pembangunan Tanah di samping kursus elektif seperti Pembangunan Pangkalan Data GIS, Remote Sensing, Alam Sekitar, Statistik dan Asas Pengaturcaraan C++.

Peluang Kerjaya:
Peluangnya adalah luas, dapat ditempatkan di firma ukur, pembinaan swasta atau di jabatan kerajaan sebagai Pembantu Teknik Ukur.

 

 


 

DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK (DET)

Sinopsis Program
Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam mengguna, menguji, menyenggara dan membaik pulih mesin elektrik dan peranti elektronik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Program ini merangkumi kursus Elektronik Kuasa, Sistem Kuasa, Mesin Elektrik, Peralatan Elektronik, Kawalan Motor, Bekalan Kuasa Elektrik & Kawalan dan Keselamatan Industri. Program ini juga menawarkan kursus-kursus pengkhususan dalam bidang Elektrik seperti Peralatan Elektronik, Senggara Kejuruteraan, Kawalan Motor A.T, Sistem Perlindungan, Bekalan Kuasa Industri, Kawalan Motor A.U dan Projek.

Prospek Kerjaya
Pelajar berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang industri pembuatan elektronik, penjanaan elektrik, industri petroleum dan gas serta industri perkhidmatan elektrik.

DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMPUTER)

Sinopsis Program

Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menguji peranti elektrik dan elektronik bagi membaik pulih perkakasan komputer. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Kurikulum program ini mengandungi kursus Sistem Digital, Pengukuran dan Peralatan Elektronik, Sistem Pemprosesan Mikro, Architecture Komputer & Penyenggaraan Komputer serta Kejuruteraan Perisian dan Keselamatan Industri. Program ini juga menawarkan kursus-kursus pengkhususan dalam bidang Elektronik (Komputer) seperti Sistem Mikro Pemproses & Pengawal Mikro, Sistem Komputer & Aplikasi, Pengaturcaraan, Komunikasi Data, Reka bentuk Litar Bersepadu, Diagnosis & Senggara Sistem Komputer dan Projek.

Prospek Kerjaya

Pelajar yang berjaya menamatkan program ini berpeluang untuk menceburi bidang pekerjaan sebagai Pembantu Teknik dalam bidang pembuatan elektronik dan perkhidmatan ICT.

DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRONIK (KOMUNIKASI)

Sinopsis Program
Program ini menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menguji, membaiki dan menentukur pengalatan elektronik. Pelajar akan mengikuti kuliah, melaksanakan tugasan, membuat kerja projek, melaksanakan kerja-kerja amali dan menjalani latihan di industri. Program ini mengandungi kursus Asas Elektrik dan Elektronik, Pemasangan Elektrik, Sistem Digital, Litar Elektronik, Telekomunikasi, Pengalatan & Kawalan dan Keselamatan Industri. Program ini juga menawarkan kursus pengkhususan dalam bidang elektronik seperti Penyenggaraan & Baikpulih Alat Elektronik, Sistem Audio Visual, Sistem Mikropemproses & Pengawal Mikro, Sistem Komunikasi, Sistem Kawalan Automatik, Komunikasi Data dan Projek.

Prospek Kerjaya
Graduan program ini berpeluang menjawat jawatan sebagai Pembantu Jurutera / Eksekutif Teknikal, Eksekutif Jualan, Jurutera Kawalselia, Eksekutif Pemasaran di bidang awam dan swasta, atau bekerja sendiri.

DIPLOMA KEJURUTERAAN ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK (DEE)

Sinopsis Program
Program Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik telah direkabentuk meliputi pelbagai disiplin semasa yang luas dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Asas Elektrik dan Elektronik yang luas merangkumi Prinsip Elektrik dan Elektronik, Asas Komputer dan Pengaturcaraan, Rekabentuk Terbantu Komputer, Peranti Semikonduktor, Sistem Komunikasi, Pemasangan Pendawaian, Sistem Kuasa, Mesin Elektrik dan Pengawal Logik Boleh Aturcara. 

Prospek Kerjaya
Program ini menyediakan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang boleh digunakan dalam pelbagai kerjaya khususnya dalam sektor penjanaan kuasa dan industri pembuatan.

 

 


DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (DKM)

Sinopsis:
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Pelajar akan mengikuti kursus pengkhususan seperti Teknologi Kejuruteraan Loji, Reka bentuk Kejuruteraan, Amalan Bengkel Mekanikal, Teknologi Woksyop, Kaji Daya Bahan, Termodinamik, Kaji Daya Mesin, kursus-kursus teras dan beberapa kursus elektif.

Peluang Kerjaya:
Peluang pekerjaan adalah luas dan graduan berpeluang menceburi kerjaya sebagai Pembantu Teknik (mekanikal) di sektor awam dan swasta.

DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PEMBUATAN) (DTP)

Sinopsis:
Program ini mendedahkan pelajar kepada pelbagai teknik dalam industri proses pembuatan serta penggunaan mesin moden dalam pembuatan. Program ini juga memberi asas yang luas dalam kejuruteraan mekanikal dan pengkhususan dalam bidang pembuatan. Kursus pengkhususan adalah Sistem Pembuatan, Amalan Bengkel Pembuatan, Teknologi Bahan, Reka bentuk Pembuatan Terbantu Komputer, Kawalan Kualiti, Automasi Perindustrian dan Robotik, Ekonomi Pembuatan dan Kawalan Pembuatan di samping kursus teras dan beberapa kursus elektif.

Peluang Kerjaya:
Graduan dapat mencari pekerjaan di dalam pelbagai industri kejuruteraan mekanikal dan pembuatan.

DIPLOMA KEJURUTERAAN MEKATRONIK (DEM)

Sinopsis:
Program Diploma Kejuruteraan Mekatronik direka bagi melahirkan graduan holistik yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran kompeten dalam kejuruteraan mekatronik bagi memenuhi permintaan pekerja dalam sector kejuruteraan dan untuk mencapai sasaran pekerja berkemahiran tinggi bagi keperluan industri. Kejuruteraan Mekatronik adalah kejuruteraan yang mengintegrasikan pelbagai disiplin seperti pengetahuan mekanikal, elektronik, pengkomputeran, kawalan, pengaturcaraan dan automasi. Gabungan pengetahuan ini digunakan secara meluas dalam pelbagai sector industri yang memberikan pelajar peluang pekerjaan yang luas yang boleh diceburi dalam seperti sector industri robotic, proses pembuatan, automasi, kawalan, kualiti dan lain -lain.

Peluang Kerjaya:
Program ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik yang boleh digunakan untuk pelbagai kerjaya dalam Kejuruteraan Mekatronik. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh pelajar daripada program ini akan membolehkan mereka menyertai pasaran kerja sebagai:
•Pembantu jurutera
•Penolong Teknikal
• Penolong Pengurus Perkhidmatan
• Penasihat Perkhidmatan
• Penyelia sistem pengawal
• Automasi dan penyelia robot
• Penyelia
• Juruteknik
• Pengajar Teknikal atau Pensyarah
• Eksekutif Jualan Teknikal / Jurutera
• Penggubal / Pereka
• Penolong Pengaturcara
• Pengajar Teknikal
• Usahawan
• Juruteknik Pengeluaran

 


  

DIPLOMA AKAUNTASI

Sinopsis:
Program tiga tahun ini menyediakan latihan teori dan praktikal dalam bidang perakaunan bagi membolehkan pelajar memasuki komuniti perniagaan serta dapat berfungsi dengan cekap dan lancar menggunakan sistem manual dan komputer. Program ini mencakupi semua bidang perakaunan seperti kewangan, pengekosan, pengurusan, percukaian dan pengauditan. Pelajar juga mempelajari bidang lain yang berkaitan seperti undang-undang syarikat, undang-undang perdagangan, pengurusan perniagaan dan ekonomi yang dibentuk untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran pengurusan bagi membolehkan mereka meningkat ke jawatan penyeliaan.

Peluang Kerjaya:
Kerjaya sebagai Penolong Akauntan dan Penolong Juruaudit di sektor awam atau swasta.

DIPLOMA PEMASARAN

Sinopsis:
Program ini bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam pengiklanan, pengurusan jualan, promosi jualan, analisis pemasaran, membuat keputusan, perancangan dan pengawalan, peruncitan, penyelidikan pemasaran serta prosedur import dan eksport. Bagi menjamin kemahiran yang seimbang, bidang pengajian yang lain juga dibekalkan seperti perakaunan, ekonomi, undang-undang komersial, statistik dan komputer perniagaan.

Peluang Kerjaya:
Bidang kerjaya yang diceburi oleh graduan program ini ialah sebagai Penolong Pengurus Pemasaran, Penolong Juruaudit dan Perunding Pemasaran sama ada di sektor awam ataupun swasta.

DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN

Sinopsis:
Program tiga tahun pengajian perniagaan dibentuk bagi menyediakan pelajar dengan pengetahuan perdagangan yang komprehensif. Tumpuan utama diberi kepada pelbagai bidang pengajian perniagaan seperti pemasaran, perakaunan, statistik, ekonomi, pengurusan perniagaan, undang-undang syarikat, percukaian dan matematik pengurusan.

Peluang Kerjaya:
Graduan program ini berpeluang menjawat officer in business administration, government officer, human resource officer, investment officer, entrepreuneurs, customer service officer, business planner, management officer, markerting officer, business development officer, business researcher, operation officer di sektor awam dan swasta.